Ahad, 23 Jun 2013

Buah Kelapa - Santan, sumber utama!



Kelapa (bahasa Inggeris: coconut, tulisan Cina ) atau juga dikenali sebagi nyiur adalah tumbuhan saka, tempoh ekonomi adalah melebihi 25 tahun. Pokoknya boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi. Ia didapati di semua kawasan tropika. Keseluruhan pokok kelapa dapat dimanfaatkan kepada pelbagai guna.

Pokok kelapa (Cocos nucifera L.) adalah ahli keluarga Arecaceae (keluarga palma). Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma yang besar, tumbuh setinggi 30 meter, dengan pelepah daun (pinnate) sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun (pinnae) sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin
Pengelasan saintifik
  • Alam: Plantae
  • Divisi:             Magnoliophyta
  • Kelas:             Liliopsida
  • Order:             Arecales
  • Keluarga:       Arecaceae
  • Genus:           Cocos
  • Spesies:         C. nucifera
  • Nama binomial : Cocos nucifera

Asal

Asal pokok kelapa telah menjadi perbahasan dengan sesetengah pihak berkuasa mendakwa bahawa ia berasal dari semenanjung Asia Tenggara sementara yang lain pula mendakwa bahawa ia berasal di barat laut Amerika Selatan.

Rekod fosil di New Zealand menunjukkan pokok kecil seperti kelapa tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Fosil yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar disebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. 
Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 cm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah. Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai. Bagaimanapun di Kepulauan Hawaii, pokok kelapa dianggap diperkenalkan oleh orang Polinesia, pertama diperkenalkan ke kepulauan oleh pelayar Polinesia dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.


Varieti-varieti kelapa yang terdapat di Malaysia ialah:-

Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall )

Kelapa Rendah Merah Malaya (Malayan Red Dwarf, MRD)

Kelapa Rendah Kuning Malaya (Malayan Yellow Dwarf, MYD)

Kelapa Rendah Hijau Malaya (Malayan Green Dwarf, MGD)

Kelapa MAWA (Malayan Dwarf X West Afrcan Tall)

Kelapa MATAG (MYD/MRD X Tagnanan Tall)

Kelapa Tinggi Afrika Barat

Kelapa Tinggi Tagnanan

Kelapa Tinggi Rennel

Kelapa Wangi (Aromatic Dwarf)

Kelapa MAREN (MYD.MRD X Rennel Tall)

Kelapa MAMA (MYD/MRD X Malayan Tall)



Penanaman

Buah kelapa tua dibiarkan bercambah dan ditanam di tapak tetap dan turut ditanam pindah sebagai pokok hiasan dalam lanskap. Bagi kelapa yang tinggi ia selalunya lambat matang dan berbunga semasa usia 6-10 tahun. Kelapa tinggi boleh hidup sampai 100 tahun dan tahan lasak iaitu boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dan jenis tanah. Bagi kelapa rendah, ia berbunga 3 tahun selepas ditanam dengan ketinggian tidak melebihi 1 meter. Kelapa rendah mungkin memberi hasil sehingga berusia 70 tahun.


Penyakit dan perosak

Pokoknya boleh dijangkiti penyakit yang disebabkan kulat, bakteria dan virus yang boleh menyebabkan paksi tengah pokok menjadi busuk, batang menjadi reput dan berdaun kuning. Kulat juga boleh membunuh pokok kelapa. Perosak yang paling besar adalah kumbang badak dan kumbang hitam. Buah kelapa dimakan tupai dan di sesetengah tempat buahnya dimakan ketam kelapa.


Buah

Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali sebagai pepauh (ataupun drup) bergentian (bukannya "kacang"). Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Apabila dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet yang merupakan istilah bahasa Portugis iaitu coco.

Susunan varieti kelapa di Malaysia semasa di MAHA.

Kegunaan

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan". Kegunaan pelbagai bahagian kelapa termasuk:

batang kelapa boleh dibuat titi serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai

daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan

lidi kelapa boleh dibuat penyapu

sabut kelapa boleh dibuat tali

tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan

serbut sabut boleh dibuat bahan reput dan kompos dalam pertanian

minyaknya sebagai minyak masak, minyak pelita dan sabun

- sumber Wikipedia 


Santan
Santan kelapa merupakan air perahan dari kelapa tua yang dikukur. Santan mempunyai rasa lemak dan digunakan sebagai perasa yang menyedapkan masakan. Pada masa dahulu, santan akan diperah dari kelapa yang dikukur/diparut dan dicampur dengan air panas sebelum diperah.

Pada masa kini, terdapat mesin pemerah santan bagi memerah santan dengan cara yang bersih, banyak dan pantas. Bagi penggunaan mesin, kelapa yang diparut tidak perlu dicampurkan dengan air, dan pati santan yang terhasil adalah 100% tulen. Terdapat juga santan segera dalam paket yang cuma perlu ditambah air panas sebelum digunakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan